Search form

Isnin, 10 Disember 2018

Rezeki MasterChef Syura

Primary tabs

Hiburan
1 of 1
Syura (tengah) merakamkan gambar kenangan bersama kru produksi dan peserta MasterChef Selebriti Malaysia selepas diumumkan sebagai pemenang musim kedua.
Syura (tengah) merakamkan gambar kenangan bersama kru produksi dan peserta MasterChef Selebriti Malaysia selepas diumumkan sebagai pemenang musim kedua.
Malay

BIARPUN penyanyi yang cukup dikenali dengan lagu-lagu pop tradisional, Zuraidah Badron atau lebih dikenali sebagai Syura, 27, sudah dikenali sebagai juara MasterChef Selebriti Malaysia Musim Kedua, dia masih sayangkan bidang nyanyian.

Ketika ditemui dalam majlis makan malam anjuran Astro bersama pihak Media, Syura memberitahu bahawa bidang nyanyian masih kuat di hati dan jiwanya.

“Bidang nyanyian merupakan bidang yang paling saya minat dan saya masih sayangkan bidang ini," katanya.

Menurutnya, menjadi seorang chef bukanlah sesuatu yang mudah, lebih-lebih lagi setelah menjadi ikon kepada MasterChef musim kedua.

“Saya rasa selepas ini, saya kena belajar lebih banyak lagi," ujarnya.

Menurut Syura, sebelum ini dia tidak pernah memiliki sebarang buku resipi dan persediaannya sebelum menyertai MasterChef hanya berdasarkan tayangan video yang ditontonnya dalam laman YouTube.

“Walaupun saya hanya belajar masak melalui YouTube sahaja, hampir 100 peratus masakan yang saya cuba menjadi.

“Malah setelah beberapa kali percubaan, saya semakin yakin untuk tidak bergantung kepada buku resipi," ujarnya.

Tambah Syura, dia sudah membuat yang terbaik terutamanya selepas melangkah ke peringkat akhir.

“Peringkat akhir paling mencabar sebab saya perlu memasak di dapur yang cukup besar, selain menyediakan masakan dalam kapal terbang Airbus. Ia memberikan pengalaman baru.

“Saya jujur dalam apa yang saya masak walaupun sedikit gelabah," katanya.

Jelasnya, tujuan dia menyertai MasterChef bukanlah untuk bertanding, namun untuk belajar memasak dan cuba mencabar kemampuan diri dalam bidang ini selepas bergelar seorang ibu.

“Bila dah lepas top 10, makin jauh langkah saya. Alhamdulillah akhirnya saya dinobatkan sebagai juara MasterChef," ujarnya.

Tambahnya lagi, selepas ini dia berhasrat untuk mengerjakan ibadah umrah di tanah suci bersama ibunya.

Dalam musim kedua itu, Syura menewaskan Celina Khor apabila menu bertemakan ‘Sajian Sehangat Bintang’ ciptaannya berjaya memikat hati juri.

Dengan hasil kemenangannya itu, Syura menyumbang RM60,500 kepada badan kebajikan yang diwakilinya iaitu Pertubuhan Kebajikan Kanser Payudara Persekutuan.

Sementara itu pengacara, Celina Khor pula menyumbang RM10,000 kepada Persatuan Kebajikan Haiwan-Haiwan Kurang Dijaga Selangor (Fury Friends Farm).

Bagi Celina, tidak banyak yang berubah dalam dirinya selepas mendapat tempat kedua, namun peluang menyertai MasterChef membuatkannya menemui minat baharu iaitu mendalami bidang kulinari secara lebih serius. -SYAHRIL/RUSHDI SALLEH

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Hiburan/20130629/hi_03/Rezeki-MasterChef...
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tags: 
masterchef
syura

 

 

Comments