Search form

Ahad, 16 Disember 2018

Pengilang, MEF tidak alukan Cukai Minuman Bergula

Primary tabs

Akhbar Cina
1 of 1
Malay

Pelaksanaan Cukai Minuman Bergula seperti yang dipertimbangkan Kementerian Kesihatan dilihat sebagai tidak memberi faedah kepada industri dan ekonomi.

Pengilang gula dan Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) tidak mengalu-alukan cadangan tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif MSM Holdings Berhad, Mohamad Amri Sahari memberitahu Sinchew Daily, pelaksanaan cukai itu akan menjejaskan prestasi perniagaan minuman.

Katanya, pihak berkenaan juga tidak dapat menunjukkan bukti yang kukuh bahawa pemansuhan atau pengurangan subsidi gula akan mengubah tabiat pemakanan pengguna.

Menurutnya, dalam keadaan ekonomi yang kurang memberangsangkan, sebarang pertambahan cukai tidak akan memberi tamparan kepada pembangunan ekonomi.

Ujarnya lagi, cadangan cukai minuman bergula difahamkan bertujuan mengekang pengambilan minuman bergas atau soda dan bukannya menyasarkan pengambilan gula.

Jelasnya, pelaksanaan cukai itu juga tidak akan memberi impak kepada industri gula kerana pembeli gula bukan terdiri daripada pengeluar minuman semata-mata.

Beliau bagaimanapun menegaskan, masalah obesiti adalah disumbangkan oleh tabiat individu dan ia tidak boleh diatasi dengan satu-satu cara termasuk dengan pelaksanaan Cukai Minuman Bergula.

Walaupun Cukai Minuman Bergula merupakan benda yang baharu buat kebanyakan rakyat Malaysia, tetapi ia tidak asing di Amerika Syarikat, Perancis, Finland, Hungary atau Mexico.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif MEF, Datuk Shamsuddin Bardan berkata, tindakan kerajaan mengehadkan kandungan gula dalam minuman adalah lebih berkesan daripada mengenakan Cukai Minuman Bergula.

Katanya, melalui cadangan itu, kerajaan antaranya boleh mengenakan denda malahan mendakwa pengeluar minuman yang melepasi paras gula yang dibenarkan dalam produk mereka.

Menurutnya, pelaksanaan Cukai Minuman Bergula hanya akan membebankan majikan yang terpaksa membeli perisian baharu jika cukai tersebut diluluskan kerajaan.

Ujarnya lagi, MEF juga tidak bersetuju dengan agensi kerajaan berlainan yang mengendalikan cukai-cukai yang berbeza.

"Cukai Minuman Bergula dicadangkan Kementerian Kesihatan. Kenapa cukai tidak diurus dan dikutip secara berpusat.

"Ini akan menyebabkan pengurusan cukai bertambah rumit," katanya.

 

 

Comments